Hati Pasangan – Yang Terlupa Dijaga

Sudah minggu keempat kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Sepanjang pemerhatian saya di facebook, semakin berkurangan hantaran tentang suami atau isteri yang menulis tentang kesilapan pasangan membeli barang-barang keperluan rumah.

Kelihatannya ia adalah gurauan dalam mengisi tempoh PKP. Sementelah masing-masing mungkin tidak betah berada di rumah dan dalam masa yang sama kebimbangan bilakah akan berakhirnya situasi ini. Lalu gurauan demi gurauan seakan menjadi penawar bagi rasa bimbang.

Cuma apa yang bermain di benak saya ialah apakah suami atau isteri itu telah mendapat keizinan masing-masing untuk menulisnya di media sosial?

Acapkali saya mendengar alasan suatu perceraian atau timbulnya pertengkaran mulut sehingga terlafaznya lafaz cerai dengan sayu alasan paling umum; tiada persefahaman.

Lalu setelah diselidiki antara punca kepada tiada persefahaman ini ialah sebenarnya ia berpunca daripada hilang hormat atau kerana terasa maruah dipersenda.

Bayangkan bagaimana perasaan pasangan yang aibnya didedahkan di media sosial sedang ia tidak tega pun ia menjadi bacaan umum.
Mungkin di hati kecilnya bertanya sendiri, “Di mana rasa hormatnya isteri pada aku?”

Di sebalik senyum manis seorang isteri mungkin terdetik bisikan, “Tergamaknya suamiku yang sepatutnya melindungi maruahku, tapi sebaliknya dia yang diharapkan pula yang memaparkan aibku kepada umum”.

Dalam urusan suami isteri, ada batasan-batasan tertentu tentang apa yang hendak dihebahkan di media sosial.

Bagi sesetengah pasangan mungkin cerita tentang ketidakcekapan suami/isteri itu adalah perkara biasa yang layak menjadi gurauan, tapi ada sesetengahnya pula merasakan ia adalah maruahnya yang dipersenda.

Kita akui setiap pasangan mempunyai kekurangan dan adakah pasangan kita merasa rela kekurangannya dihebahkan di merata ceruk dunia?

Kenali hati budi pasangan kita dan hindarilah sesuatu yang tidak disukai kerana kesannya akan kembali kepada hati. Hati yang terluka memang tidak nampak di mata. Dan kerana tidak nampaklah menjadikan kita tidak cakna dan peka. Merasakan ia adalah perkara biasa sedangkan dia menjeruk rasa di dada.

Sebagai peringatan untuk kita bersama, jagalah hati pasangan kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.