Pentas Yang Kita Lakonkan

Stage 2

All the world’s a stage. All the men and women merely players. They have their exits and entrances’. – Shakespeare. (As You Like It).

Hakikat Pentas Yang Ada

Ada satu pentas kitalah watak utamanya. Kita akan mula berada di atas pentas dari mula kelahiran kita dan berakhirnya watak kita ketika nadi kita sudah hilang denyutnya.

Sepanjang kita di atas pentas itu, orang lain adalah watak sampingan. Ada yang bersama dari mula kita beraksi sehingga tamat pementasan kita. Ada yang muncul di pertengahan pementasan kita dan di saat tirai dilabuhkan, mereka tetap kekal di atas pentas yang kita adalah watak utama. Dan tidak kurang juga yang datang dan pergi tidak tentu masa. Mereka muncul seketika kemudian berlalu meninggalkan pentas. Lalu muncul lagi. Hakikatnya kesemua mereka ini adalah watak sampingan.

Pentas yang lain pula kita adalah watak sampingan. Ibu, bapa, suami, isteri, sahabat, mereka yang memiliki pentas itulah watak utama dan kita adalah watak sampingan. Mungkin kita akan bersama hingga watak tersebut mengakhiri pementasannya. Atau mungkin kita hanya muncul sekali-sekala. Kita kena akur kita adalah watak sampingan.

Watak Yang Kita Mainkan

Di pentas kita, adakala mungkin kita adalah hero dalam bahagian-bahagian tertentu. Kita yang muncul sebagai watak sampingan di pentas orang lain, mungkin juga memainkan peranan penting.

Jika kita orang yang disanjung-sanjung, orang penting dalam organisasi— di pentas milik kita, kitalah watak utama; di pentas orang lain walaupun kita adalah watak sampingan tetapi kemunculan kita adalah sebagai orang penting. Orang penting yang sebenarnya hanyalah boleh datang dan pergi.

Kerana itu, jangan kita lupa bahawa bila tiba saatnya kita akan menerima isyarat untuk meninggalkan pentas orang lain walaupun kita memainkan peranan sebagai watak penting.

Mungkin ketika itu kita sudah bersara atau sudah berhijrah ke tempat lain. Entah kita akan diingati dengan watak kita sebagai watak yang baik entahkan sebaliknya. Entahkan saat kita meninggalkan pentas mereka, di dalam hati mereka berlagu riang.

Begitulah diibaratkan perjalanan kehidupan kita. Sebuah pementasan yang akan ada akhirnya. Ada watak lain yang datang dan ada yang pergi.

Di pentas orang lain mungkin kita disambut riang, atau diarahkan segera meninggalkan pentas kerana kita tak diperlukan. Di pentas kita ada yang senang hati mereka hadir memberikan warna-warna indah di hari-hari kita. Ada yang hanya hadir untuk mencarik segala keindahan yang ada. Itulah lumrah kehidupan. Tidak semuanya berjalan sebagaimana yang kita mahukan.

Dan di saat ini pun kita masih lagi memainkan peranan masing-masing di pentas sendiri dan di pentas orang lain.

Semoga kita tidak pernah lupa memohon doa dan bantuanNya agar dapat memainkan peranan sebaik khalifahNya yang melaksanakan amanah sebaiknya.

Demikianlah catatan ringkas yang bermain di benak fikiran saya.

Hisham
Temerloh, Pahang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.