“Berapa lama dah berkahwin?”
Itu soalan yang saya ajukan. Pasangan yang menemui saya itu kelihatan masih muda.
“Lebih kurang 3 bulan,” jawabnya.
Lalu saya minta penjelasan. Katanya setelah berkahwin sebulan, masing-masing tidak tinggal bersama kerana PKP. Sebulan tinggal bersama dan 2 bulan tinggal berasingan. Entah apa yang terjadi, lalu keputusan untuk menamatkan ikatan perkahwinan dibuat.
Perkahwinan adalah sebab suka sama suka. Tempoh perkenalan pula selama setahun. Alasan klise yang diberikan; tiada persefahaman.
Apakah sangat rapuh matlamat perkahwinan yang dimeterai? Berkahwin bukan sepatutnya kerana ikut-ikutan. Matlamat, misi, harapan perlu jelas kerana membina rumahtangga itu bukan perkara yang boleh dipandang enteng.
Kerana dalam rumahtangga itu akan ada waktunya cuacanya mendung. Kemudian akan kembali cerah. Begitu kita akan menghargai cerahnya cuaca setelah pernah mengalami mendung yang membungkam jiwa.