Gua Thur Di Kejauhan

Jabal Thur nun di sana

Di kejauhan, Jabal Thur itu aku renungi. Di situ juga terletaknya Gua Thur.

Semakin aku pandang, semakin sebak rasa di dada. Tanpa dapat ditahan airmata terus mengalir.

Aku teringatkan kata-kata Rasulullah s.a.w buat sahabatnya Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang Allah rakamkan di dalam ayat 40, Surah At-Taubah.

‘La tahzan innallaha ma’ana’,
‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita’.

Tenangnya rasa hati apabila mendengar lafaz ini. Keyakinan diserahkan sepenuhnya kepada Allah.

Lalu aku membayangkan setiap kali kesulitan yang dihadapi, dan di saat itu terdengar Rasulullah s.a.w berkata, “La tahzan, innallaha ma’ana”. Semakin deras airmata mengalir.

Rasa rindu, rasa cinta membuak-buak terhadap Rasulullah s.a.w. Tetapi adakah aku akan bersama Baginda di akhirat kelak?

Jabal Thur itu terus aku tatapi.

Seakan sukar berhenti air mata mengalir.

Aku teringatkan pengorbanan Sayyidina Abu Bakar r.a ketika menahan kepedihan digigit binatang bisa. Ketika itu Rasulullah s.a.w tidur di ribaannya. Tidak sanggup untuk bergerak kerana tidak mahu Rasulullah s.a.w terjaga. Sehinggalah titisan air mata itu gugur di pipi Baginda.

Betapa kasihnya terhadap Rasulullah s.a.w.

Jabal Thur itu terus aku renungi. Mencari ibrah dari kisah yang berlaku sepanjang perjalanan hijrah Rasulullah s.a.w.

Day & Night Yang Mengusik Hati

Jika disebut Winter Sonata atau Autumn In My Heart, pastinya saya akan terus teringat kepada OSTnya.

Begitu juga tatkala mendengar OST sesebuah drama, maka akan teringat tentang drama itu sendiri. Syaratnya OST atau drama tersebut sangat menarik. Sebagaimana drama Deep Rooted Tree yang memang antara menjadi carta teratas drama pilihan saya. Warrior Baek Dong Soo dan Slave Hunter juga antara yang termasuk dalam kategori ini.

Terbaharu ialah lagu Day & Night dalam drama Start Up. Seawal episod satu saya sudah tertarik dengan OST ini. Start Up sudah menjadi Start Cry. Tapi saya tak menangis. Saya baca di youtube ramai yang menangis. Sebab itu ada yang kata Start Cry.

Saya tidaklah pandai mengulas sesebuah drama. Bagi saya Start Up memang best dan tidak sabar menunggu berbaki lagi dua episod.

Apa yang pasti, lagu Day & Night saya sangat gemari. Malah terkadang berulang-ulang saya pasang.

Akhirnya bagi tahun 2020 ini saya temui OST yang saya minati.

Hisham
Temerloh,Pahang.

Hati terbuai-buai mendengarnya.

Bukit Keluang

Lepas daki Bukit Panorama, saya sudah tidak mendaki. Berlari pun suam-suam kuku. Entah sibuk dengan urusan lain.

Baru-baru ini pergi ke Besut. Terus saya masukkan rancangan untuk mendaki Bukit Keluang.

Saya dah mula mendaki, isteri dan anak-anak bergambar di kaki bukit.

Asalnya hendak mendaki pagi esoknya tapi elok pula cuaca petang ketika sampai.

Continue reading

Jaulah Ukhwah Ke Pasir Puteh dan Besut

Ketika menerima undangan ke majlis perkahwinan daripada Cikgu Haji Misran, terus saya lihat kalendar. Tarikh majlisnya 31 Oktober 2020, hari Sabtu.

Otak ligat menyusun rencana. Jemputan ini sudah lama ditunggu. Dulu kami sama jemaah ketika menunaikan umrah. Lokasi majlisnya di Kampung Nara, Pasir Puteh, Kelantan.

Bersama Cikgu Haji Misran ketika menunaikan umrah.

Terfikir hendak singgah di Besut. Lalu saya susun semula jadual kerja. Apatah lagi isteri saya sudah lama menyatakan hasrat untuk ke rumah Kak Laili di Besut. Hasil musyawarah, dan juga keterujaan Kak Laili mendapat khabar tersebut (lalu diminta untuk kami menginap di rumahnya), jadualnya disusun seperti berikut:

Continue reading

Anak-anak Ayah, Faraid dan Wali.

Anak saya yang pertama lahir, lalu dinamakan Nur Aqilah. Begitu terujanya kami menyambut kelahiran anak ini. Kelahiran anak yang semakin mengeratkan simpulan kasih.

Kemudian, lahir pula anak yang kedua. Dinamakan pula Nur Afiqah.

“Dua-dua perempuan ke anaknya?” soalan yang sering diajukan. Kami mengiyakan. Menjawab dengan senyuman.

Berpindah ke daerah lain dan dikurniakan lagi seorang anak. Kami namakan bayi comel yang baunya lebih harum dari minyak wangi yang kami jual dengan nama Nur Afifah. (Bukankah bau bayi adalah bau yang sangat mengasyikkan?).

“Belum ada anak lelaki ya?” Pertanyaan biasa yang sering kami peroleh.

“Kena usaha lagi tu untuk dapatkan anak lelaki.” Begitu antara kata-kata yang kami terima. Kami anggap sahaja kata-kata itu umpama angin lalu. Tidak perlu dikisahkan.

Continue reading

Bukan Sekadar Angan-Angan

Pulau Nami, Korea Selatan.

Sebelum lamaran terhadap isteri saya dibuat oleh Ustaz saya bagi pihak saya, saya suarakan tentang segumpal resah yang bermukim di antara sudut hati saya.

Saya katakan tentang bezanya antara kami. Saya orang biasa di kampus sedangkan dia di kalangan pimpinan di zaman kampus.Lalu Ustaz saya meneguhkan hasrat yang saya nyatakan.

Katanya, “InsyaAllah jika dia terima anta, dia akan terima apa yang yang ada pada diri anta. Kalau anta jadi suami dia, pasti dia akan hormat anta sebagaimana sepatutnya. Lagi-lagi bila dia faham agama.”

Continue reading

Hari Ini 12 Tahun

“Macam mana Ayah meminang Ibu?” tanya anak saya.

“Ayah minta tolong ustaz Ayah tanyakan,” jawab saya.

Begitulah kisahnya. Saya minta Ustaz saya tanyakan kepada isteri saya, sudi atau tidak menerima saya jika saya melamar. Ketika itu kami masing-masing sudah bekerjaya. Jawapannya positif. Lalu Ustaz saya menyuruh saya ambil tindakan seterusnya. Kami pun bertunang.

Memang kami sama-sama dalam satu jabatan di pusat pengajian. Malahan sama batch dan sama kelas. Tapi tidak pernah bertegur sapa.

Andai sudah jodoh, siapa yang menyangka.

17.10.2008 – 17.10.2020, genap 12 tahun usia perkahwinan kami.

Tentang Sahabat

Bait kata-kata Al-Fadhil Ustaz Mohammad Rozie Bin Mohd Rejab:

Sahabat sekalian. Al -Imam Muhammad Bin Idris Asy-Syafie r.a pernah berpesan dengan kata-kata yang sangat indah sekali.

Jika engkau punyai sahabat yang selalu membantumu dalam jalan ketaatan kepada Allah s.w.t, maka peganglah mereka erat-erat. Jangan sekali-kali engkau lepaskan mereka. Kerana mencari sahabat yang mendekatkan kita kepada Allah, sahabat yang baik itu, sifatnya terlalu susah untuk kamu dapatkan ia. Tetapi ingat, melepaskannya amat mudah sekali.

Continue reading