35 Tahun Ayah Pergi

149081996_10220095099911835_8023664308336808615_n

15 Februari 1986 – 15 Februari 2021

Sudah 35 tahun ayah meninggal dunia. Pergi tak kembali meninggalkan mak dan kami 9 beradik ketika itu. Mak pada ketika itu berusia 37 tahun. Abang (18), Kakak (16), Kakngah (14), Bangli (12), Kakti (9), Bangman (7), saya (4), Ani (3) dan Adik (4 bulan).

Di usia 4 tahun, hanya beberapa serpihan memori bersama ayah yang terakam dalam ingatan. Kenangan bersama ayah yang membawa saya dan Bangman solat di masjid. Malah terbayang jelas saat ayah menggunting rambut jemaah masjid di parkir kenderaan di masjid. Dan saya pula sesekali mengerling melihat ayah sambil mengutip batu-batu di jalan. Bermain seorang diri.

Continue reading

Mereka Yang Kuat Dan Cekal.

Banjir di Temerloh belum surut sepenuhnya di beberapa kawasan. Dan banyaklah kerosakan harta benda baru-baru ini. Saya hanya tidak dapat hadir bekerja dalam tempoh tersebut. Kedudukan rumah masih di kawasan selamat.

Melihat kesan banjir ini; kehilangan harta benda, semangat yang perlu dibugar, saya terfikir sendiri. Entah bagaimana kalau saya diuji sebegitu rupa.

Adakah saya boleh bersabar? Atau akan banyak berkeluh kesah. Saya melihat di sisi sudut pandang yang lain. Mungkin jika saya diuji sebegitu, saya tidak akan mampu bersabar dan lantaran Allah mengetahuinya, lalu saya dihindarkan dari bencana tersebut. Saya melihat kasih sayang Allah di situ. Lalu terasa malu seandainya saya masih lagi tidak mahu bersyukur.

Betapa saya mengagumi mereka yang terkesan dengan bencana ini. Mereka dikurniakan hati yang cekal. Memang mereka tidak mahukan bencana sebegitu dan kerana takdirNya, ia terjadi juga. Mungkin mereka juga sebenarnya sudah rebah tak berdaya tapi masih ada secebis kecekalan untuk meneruskan kehidupan. Semoga Allah membantu mereka.

Hisham
14 Jan 2021

Masih 30-an

Hari ini 19 Disember. Pada tahun 198*, tarikh yang sama saya dilahirkan. Tarikh yang tidak tercatat pada surat beranak.

Apa yang tercatat di surat beranak yang kemudiannya termaktub pada kad pengenalan secara terbalik ialah 2 Januari. 2 minggu selepas tarikh sebenar saya menjengah ke dunia.

Selamat hari lahir buat diriku.

CARLOS-CASE CLOSED

Kulit hadapan novel

Buat penggemar novel Ramlee Awang Murshid, masih adalah yang belum membaca novel terbaharu bertajuk CARLOS -CASE CLOSED?

Novel ini tidak ada dijual di kedai buku. Hanya boleh membelinya melalui atas talian. Cetakan pertama telah pun habis dijual. Untuk tempahan kedua, sudah dibuka dan akan mula dipos bermula 18 Disember 2020.

Tempahan boleh dibuat melalui pautan ini -> http://bit.ly/CarlosolehRAM

Saya sendiri antara yang telah memilikinya ketika pra tempahan dibuat untuk cetakan pertama.

Continue reading

Gua Thur Di Kejauhan

Jabal Thur nun di sana

Di kejauhan, Jabal Thur itu aku renungi. Di situ juga terletaknya Gua Thur.

Semakin aku pandang, semakin sebak rasa di dada. Tanpa dapat ditahan airmata terus mengalir.

Aku teringatkan kata-kata Rasulullah s.a.w buat sahabatnya Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang Allah rakamkan di dalam ayat 40, Surah At-Taubah.

‘La tahzan innallaha ma’ana’,
‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita’.

Tenangnya rasa hati apabila mendengar lafaz ini. Keyakinan diserahkan sepenuhnya kepada Allah.

Lalu aku membayangkan setiap kali kesulitan yang dihadapi, dan di saat itu terdengar Rasulullah s.a.w berkata, “La tahzan, innallaha ma’ana”. Semakin deras airmata mengalir.

Rasa rindu, rasa cinta membuak-buak terhadap Rasulullah s.a.w. Tetapi adakah aku akan bersama Baginda di akhirat kelak?

Jabal Thur itu terus aku tatapi.

Seakan sukar berhenti air mata mengalir.

Aku teringatkan pengorbanan Sayyidina Abu Bakar r.a ketika menahan kepedihan digigit binatang bisa. Ketika itu Rasulullah s.a.w tidur di ribaannya. Tidak sanggup untuk bergerak kerana tidak mahu Rasulullah s.a.w terjaga. Sehinggalah titisan air mata itu gugur di pipi Baginda.

Betapa kasihnya terhadap Rasulullah s.a.w.

Jabal Thur itu terus aku renungi. Mencari ibrah dari kisah yang berlaku sepanjang perjalanan hijrah Rasulullah s.a.w.

KLSCM2020VR: Larian Half Marathon Tapi Lajak Sampai 25km

Terdampar lepas berlari

Sepatutnya untuk larian half marathon jaraknya ialah 21.0975km. Tapi ketika saya buat larian HM sempena Kuala Lumpur Standard Chartered 2020 Virtual Run, jarak yang tercatat pada jam saya ialah 25km.

Ini adalah sebabnya.

Ketika larian hendak dimulakan, saya buka app KLSCM VR. Untuk submit keputusan larian ada 3 cara.

Continue reading

Day & Night Yang Mengusik Hati

Jika disebut Winter Sonata atau Autumn In My Heart, pastinya saya akan terus teringat kepada OSTnya.

Begitu juga tatkala mendengar OST sesebuah drama, maka akan teringat tentang drama itu sendiri. Syaratnya OST atau drama tersebut sangat menarik. Sebagaimana drama Deep Rooted Tree yang memang antara menjadi carta teratas drama pilihan saya. Warrior Baek Dong Soo dan Slave Hunter juga antara yang termasuk dalam kategori ini.

Terbaharu ialah lagu Day & Night dalam drama Start Up. Seawal episod satu saya sudah tertarik dengan OST ini. Start Up sudah menjadi Start Cry. Tapi saya tak menangis. Saya baca di youtube ramai yang menangis. Sebab itu ada yang kata Start Cry.

Saya tidaklah pandai mengulas sesebuah drama. Bagi saya Start Up memang best dan tidak sabar menunggu berbaki lagi dua episod.

Apa yang pasti, lagu Day & Night saya sangat gemari. Malah terkadang berulang-ulang saya pasang.

Akhirnya bagi tahun 2020 ini saya temui OST yang saya minati.

Hisham
Temerloh,Pahang.

Hati terbuai-buai mendengarnya.

Bukit Keluang

Lepas daki Bukit Panorama, saya sudah tidak mendaki. Berlari pun suam-suam kuku. Entah sibuk dengan urusan lain.

Baru-baru ini pergi ke Besut. Terus saya masukkan rancangan untuk mendaki Bukit Keluang.

Saya dah mula mendaki, isteri dan anak-anak bergambar di kaki bukit.

Asalnya hendak mendaki pagi esoknya tapi elok pula cuaca petang ketika sampai.

Continue reading

Jaulah Ukhwah Ke Pasir Puteh dan Besut

Ketika menerima undangan ke majlis perkahwinan daripada Cikgu Haji Misran, terus saya lihat kalendar. Tarikh majlisnya 31 Oktober 2020, hari Sabtu.

Otak ligat menyusun rencana. Jemputan ini sudah lama ditunggu. Dulu kami sama jemaah ketika menunaikan umrah. Lokasi majlisnya di Kampung Nara, Pasir Puteh, Kelantan.

Bersama Cikgu Haji Misran ketika menunaikan umrah.

Terfikir hendak singgah di Besut. Lalu saya susun semula jadual kerja. Apatah lagi isteri saya sudah lama menyatakan hasrat untuk ke rumah Kak Laili di Besut. Hasil musyawarah, dan juga keterujaan Kak Laili mendapat khabar tersebut (lalu diminta untuk kami menginap di rumahnya), jadualnya disusun seperti berikut:

Continue reading

Anak-anak Ayah, Faraid dan Wali.

Anak saya yang pertama lahir, lalu dinamakan Nur Aqilah. Begitu terujanya kami menyambut kelahiran anak ini. Kelahiran anak yang semakin mengeratkan simpulan kasih.

Kemudian, lahir pula anak yang kedua. Dinamakan pula Nur Afiqah.

“Dua-dua perempuan ke anaknya?” soalan yang sering diajukan. Kami mengiyakan. Menjawab dengan senyuman.

Berpindah ke daerah lain dan dikurniakan lagi seorang anak. Kami namakan bayi comel yang baunya lebih harum dari minyak wangi yang kami jual dengan nama Nur Afifah. (Bukankah bau bayi adalah bau yang sangat mengasyikkan?).

“Belum ada anak lelaki ya?” Pertanyaan biasa yang sering kami peroleh.

“Kena usaha lagi tu untuk dapatkan anak lelaki.” Begitu antara kata-kata yang kami terima. Kami anggap sahaja kata-kata itu umpama angin lalu. Tidak perlu dikisahkan.

Continue reading