Gua Thur Di Kejauhan

Jabal Thur nun di sana

Di kejauhan, Jabal Thur itu aku renungi. Di situ juga terletaknya Gua Thur.

Semakin aku pandang, semakin sebak rasa di dada. Tanpa dapat ditahan airmata terus mengalir.

Aku teringatkan kata-kata Rasulullah s.a.w buat sahabatnya Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang Allah rakamkan di dalam ayat 40, Surah At-Taubah.

‘La tahzan innallaha ma’ana’,
‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita’.

Tenangnya rasa hati apabila mendengar lafaz ini. Keyakinan diserahkan sepenuhnya kepada Allah.

Lalu aku membayangkan setiap kali kesulitan yang dihadapi, dan di saat itu terdengar Rasulullah s.a.w berkata, “La tahzan, innallaha ma’ana”. Semakin deras airmata mengalir.

Rasa rindu, rasa cinta membuak-buak terhadap Rasulullah s.a.w. Tetapi adakah aku akan bersama Baginda di akhirat kelak?

Jabal Thur itu terus aku tatapi.

Seakan sukar berhenti air mata mengalir.

Aku teringatkan pengorbanan Sayyidina Abu Bakar r.a ketika menahan kepedihan digigit binatang bisa. Ketika itu Rasulullah s.a.w tidur di ribaannya. Tidak sanggup untuk bergerak kerana tidak mahu Rasulullah s.a.w terjaga. Sehinggalah titisan air mata itu gugur di pipi Baginda.

Betapa kasihnya terhadap Rasulullah s.a.w.

Jabal Thur itu terus aku renungi. Mencari ibrah dari kisah yang berlaku sepanjang perjalanan hijrah Rasulullah s.a.w.